Thursday 18 April 2013

Program Pemantapan Latihan Perguruan DPLI Semester 3


Kumpulan Diploma Pendidikan Lepas Ijazah (DPLI) Ambilan Khas Disember 2011 terdiri daripada 107 orang pelajar.  Mereka  adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih yang mempunyai pengalaman mengajar sekurang-kurangnya dua tahun di sekolah rendah. 

Pelajar-pelajar ini dijadualkan untuk menjalani latihan praktikum di Semester 3 bermula pada 28 Januari hingga 29 April 2013. Bagi tempoh empat minggu sebelum bermulanya praktikum, kumpulan ini tidak mempunyai interaksi formal yang ditetapkan oleh IPGM.  Sehubungan itu, pelbagai  program telah dirancang dan dilaksanakan oleh IPG Kampus Pendidikan Teknik  untuk membekalkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan melangkaui proforma yang ditetapkan. Fokus program keilmuan ini adalah pengisian keperluan insaniah seorang insan guru.

Mesyuarat khas bagi membincangkan program yang akan dilaksanakan telah diadakan pada 2 Januari 2013. Mesyuarat ini dihadiri oleh Setiausaha Akademik (SUA), Penolong SUA, Penyelaras DPLI, Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan, Ketua Jabatan Bahasa dan Ketua Jabatan Reka Bentuk Teknologi.  Mesyuarat tersebut memutuskan kumpulan DPLI ini perlu diberi pededahan berkaitan dengan kemahiran-kemahiran yang tidak terangkum dalam kursus-kursus yang dilaksanakan sepanjang semester 1 dan 2.  Objektif utama program ini adalah untuk memastikan mereka lebih bersedia dan bermotivasi untuk menjalani latihan praktikum di sekolah kelak.

Perkongsian pengetahuan dan kemahiran melangkaui proforma merupakan sesi yang amat berguna kepada kumpulan DPLI.  Semoga program ini dapat juga disebarluaskan kepada kumpulan yang lain bagi memastikan graduan IPG Kampus Pendidikan Teknik merupakan pendidik yang cemerlang  dan terbilang. 

Dilaporkan oleh : Dr Norizan Ahmad

No comments:

Post a Comment